Tuesday, September 16, 2014

Akta Hasutan, Di Mana Salah Mohd Najib?

Apabila Perdana Mohd Najib Tun Razak mengumumkan Akta Hasutan akan dihapuskan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional, tidak ramai yang mempertikai atau merasakan keperluan untuk mengkajinya.

Mohd Najib berbuat demikian atas desakan pembangkang dan juga kerana akta tersebut sudah merupakan suatu akta yang using kerana ia digubal mengambil kira suasana dan keadaan tahun 1948.

Dunia sudah berubah dari zaman media cetak, radio, surat layang, propaganda bisik-bisik dan risalah kerajaan kepada zaman internet. Sesungguhnya, Akta Hasutan perlukan nafas baru.

Namun kerajaan menyedari bebanan persepsi politik yang di bawa oleh Akta Hasutan sangat besar sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) terutamanya di kalangan pengundi muda yang tidak pernah merasai zaman kegawatan komunis dan kekacauan ekstremis politik dan agama.

Mereka hanya mendengar tuduhan dan fitnah pemimpin politik ke atas kedua-dua akta ini sehingga sukar untuk kerajaan menjelaskan kepada rasional. Ini ditambah pula dengan sikap kepimpinan Tun Abdullah ketika itu seolah-olah mengiyakan sahaja pandangan-pandangan yang memburukkan kedua-dua akta ini demi kepuasan politik beliau menentang Tun Mahathir.

Oleh kerana kedua-dua akta ini memerlukan banyak pindaan dan mempunyai imej buruk, Mohd Najib mengambil jalan tepat apabila mengumumkan penghapusan kedua-dua akta ini dan akan diganti dengan akta baharu. Ini bermakna segala bebanan imej politik kotor yang telah lama bersemadi dalam akal fikiran pengundi muda tidak lagi menjadi isu kepada pentadbiran Mohd Najib.

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (The Security Offences (Special Measures) Act 2012, (SOSMA Act 2012) telah dibentangkan di Parlimen dan diluluskan bagi menggantikan ISA.

Namun kesilapan terbesar Mohd Najib ialah pentadbiran beliau dilihat berlembut dalam menggunakan bagi Sosma bagi menangani isu-isu ancaman ke atas keselamatan negara, menjaga hak raja-raja Melayu, agama Islam dan kedudukan bumiputera.

Ini menyebabkan rakyat marah dan merasakan penghapusan ISA merupakan satu kesilapan besar dalam usaha mengawal kestabilan dan keamanan Negara.

Rentetan itu, usaha Mohd Najib meneruskan pembaharuan undang-undang melalui penghapusan Akta Hasutan untuk digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional mula menimbulkan syak wasangka di kalangan rakyat terutamanya mereka yang berusia 40 tahun ke atas dan penganalisis serta pemerhati keselamatan Negara.

Keraguan ini ditambah lagi dengan individu-individu yang dilantik bagi menggubal Akta Keharmonian Nasional merupakan dari kumpulan pemimpin politik yang dilihat cenderung kepada liberalisme agama dan bangsa.

Hari ini kesungguhan kumpulan yang mahu mempertahankan Akta Hasutan boleh menjadi satu masalah kepada Mohd Najib dan kerajaan.

Jalan terbaik, kerajaan harus mengambil kira pandangan peguam-peguam, bekas-bekas pegawai kanan Polis dan para pemimpin politik yang pro Akta Hasutan agar Akta Keharmonian Nasional yang dirancang tidak dating dari buah fikiran kumpulan-kumpulan liberalis dan sekular seperti Saifudin Abdullah, Nasrudin Hassan Tantawi dan Majlis Peguam.

Selamat Hari Malaysia!

- Mohamad Socrates

No comments:

Post a Comment